Brazil memastikan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia zon CONMEBOL selepas menewaskan Venezuela 1-0 sebentar tadi.

Brazil hampir dikecewakan Venezuela di Sao Paulo tetapi jaringan Firmino pada minit ke-67 terbukti sudah cukup buat skuad Selecao itu.

Firmino memecahkan kebuntuan pada 23 minit terakhir dalam perlawanan tanpa kehadiran Neymar itu untuk Brazil kekal selaku pendahulu kedudukan dengan dua mata di depan seteru tradisi, Argentina.

Berbanding barisan pemain ketika menewaskan Peru 4-2 bulan lalu, ketua jurulatih, Tite, melakukan empat pertukaran dalam kesebelasan utamanya dengan Neymar (tidak cergas), Casemiro (koronavirus), Philippe Coutinho dan Weverton digantikan dengan Gabriel Jesus, Allan, Everton Ribeiro dan Ederson.

Brazil -- yang terikat 0-0 dengan Venezuela dalam Copa America tahun lalu -- terlebih dahulu menggegarkan jaring lawan itu pada minit ketujuh tetapi dibatalkan penjaga garisan kerana ofsaid -- Richarlison merembat masuk bola muntah susulan percubaan awal Renan Lodi.

Juara Amerika Selatan itu menguasai permainan tetapi tidak menunjukkan sebarang ancaman dan bergelut untuk mencipta peluang.

Jesus yang tidak dikawal tidak dapat menolak bola ke gawang lawan selepas setengah jam perlawanan sebelum percubaan jarak dekat Richarlison berakhir hampa.

Venezuela kurang memberikan ancaman tetapi gelecekan yang dilakukan Yeferson Siteldo berhasil menuju ke dalam kawasan penalti tetapi hantaran lintang yang cuba dilakukannya dikeluarkan Marquinhos.

Brazil sekali lagi menggegar gawang lawan sebelum separuh masa tetapi usaha Douglas Luiz itu turut dibatalkan selepas dikesan mengasari penjaga gol venezuela, Wuilker Farinez.

Firmino akhirnya menamatkan penantian jaringan pasukannya selepas bijak menolak masuk dari jarak dekat bola yang ditanduk pertahanan lawan ke arahnya.