Perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia bulan ini dan Jun depan, yang terjejas kerana penularan wabak Covid-19, kekal ditangguhkan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih untuk tidak melakukan rundingan bersama pasukan lain.

Setiap pasukan yang terlibat dalam pusingan kelayakan itu diberikan kelonggaran oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk meneruskan perlawanan mengikut jadual asal dengan syarat ia memerlukan persetujuan kedua-dua pihak yang terlibat.

FAM, bagaimanapun, tidak berhajat untuk meneruskan perlawanan berkenaan berdasarkan situasi semasa.

"Ia bukan sekadar untuk mengadakan perlawanan tetapi ia turut melibatkan keselamatan dan kesihatan penyokong di stadium," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalinggam, kepada Nadi Arena.

Gara-gara wabak itu juga, Harimau Malaya kempunan untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang New Zealand bulan ini walaupun pasukan di ranking ke-122 dunia itu memberikan reaksi positif sebelumnya.

"Pada masa ini, belum ada negara yang sudi menerima jemputan FAM untuk perlawanan persahabatan.

"Kami sedang berbincang dengan jurulatih Tan (Cheng Hoe) dan ia akan diputuskan selewat-lewatnya esok," tambahnya.