Tonggak tengah Harimau Malaya, Brendan Gan, sedia menjalankan tugas khas sebagai pemain yang akan merantai 'arkitek' Thailand, Chanatip Songkrasin, untuk misi mendapatkan mata penuh di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Pertembungan jentera tengah antara yang bakal mencuri tumpuan bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Thailand itu.

Ia susulan lawan kembali diperkuatkan pemain utama mereka, iaitu Chanatip, yang terlepas aksi terdahulu ekoran kecederaan dan semestinya kemaraan pemain kelab Liga Jepun itu perlu disekat barisan tengah Harimau Malaya agar tidak berputih mata.

"Ketika ini, masih belum tahu siapa akan bermain, namun kami banyak mengharungi sesi kajian video untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan lawan.

"Sesiapa sahaja yang dipilih akan menjalankan tugas dengan baik, jadi kami perlu menunggu. Saya yakin semua pemain boleh galas tugas diberikan," ujarnya.

Tonggak Perak, Brendan, dijangka bergandingan dengan Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Azih untuk menjana bahagian tengah negara.

Aksi cemerlang gandingan itu ditagih untuk menjelmakan cabaran getir buat Thailand dan Brendan yakin persembahan penuh disiplin mampu ditampilkan, sama seperti ketika bertemu Tajikistan, Sabtu lalu.

"Saya sentiasa yakin dengan pasukan. Kami beraksi agak bagus ketika berdepan pasukan besar. Jadi, saya yakin dengan kemampuan kami bagi membuktikan Malaysia adalah pasukan yang bagus."