Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, akan memperkuatkan pasukannya dengan kehadiran tiga pemain menjelang kem latihan pusat kedua 16 Mei ini.

Kehadiran semula Liridon Krasniqi, Safawi Rasid dan Junior Eldstal itu juga mencetus kemungkinan untuk tiga pemain sedia ada digugurkan.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti penyenaraian nama Junior Eldstal memandangkan kali terakhir pemain berdarah campuran Malaysia-Sweden itu menyarung jersi kebangsaan adalah pada 2015.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom, Cheng Hoe berkata: "Kami memang memantau prestasi Junior Eldstal dalam Liga Thailand.

"Kami berharap ketiga-tiga pemain ini akan bebas kecederaan dan dapat menyertai kami dalam kem latihan Mei nanti."

Kesemua pemain negara yang terpilih akan berkampung dalam kem latihan pusat bermula 16 Mei ini sehingga tamat kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Malaysia akan berdepan pasukan tuan rumah, UAE, pada 3 Jun depan sebelum berdepan Vietnam lapan hari kemudian.

Aksi penutup saingan itu pula menyaksikan Harimau Malaya akan menghadapi tentangan Thailand pada 15 Jun depan.

Malaysia setakat ini berada di tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata, kurang dua mata di belakang pendahulu, Vietnam.

"Kami sudah hampir pasti akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Bahrain dan kami memerlukan satu lagi aksi pemanas badan.

"Pihak pengurusan pasukan sedang berbincang dengan pasukan-pasukan yang berpotensi untuk kami bertemu nanti," tambahnya.