Kudrat muka lama, Aidil Zafuan Abd Radzak, kembali dalam pertimbangan ketua jurulatih skuad bola sepak negara, Tan Cheng Hoe, untuk mengharungi aksi ketiga Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam.

Khidmat pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu kembali ditagih memandangkan dia memiliki pengalaman serta kudrat untuk memperkuatkan pertahanan negara.

Pada umur 32 tahun, ia bukanlah satu penghalang buatnya memandangkan Malaysia turut dibarisi dua lagi pemain veteran, Farizal Marlias dan Norshahrul Idlan Talaha.

Pemilihan skuad Harimau Malaya kali ini juga menyaksikan pemain tengah Selangor, Halim Saari, turut dalam senarai awal 25 pelatih sambil kelibat kapten Felda United, Hadin Azman, digugurkan.

"Saya memanggil Aidil kerana mahukan seorang lagi pemain berpengalaman di bahagian pertahanan dan Halim pula dipanggil kerana saya mendapati ada sedikit kelonggaran di bahagian tengah.

"Saya harap kedua-dua pemain ini dapat memberikan kesimbangan dalam pasukan," kata jurulatih Harimau Malaya itu menjelang pertemuan di Hanoi, 10 Oktober ini.

Pengendali berusia 51 tahun itu juga mempertahankan pemilihan Muhammad Irfan Zakaria di bahagian benteng negara di sebalik prestasi hambar skuad Kuala Lumpur yang mencatat jumlah bolos paling banyak dalam saingan Liga Super musim ini, iaitu 49 gol.

"Mungkin disebabkan pasukan Kuala Lumpur tidak beraksi baik (pemilihannya dipersoalkan) tetapi saya beri peluang kepadanya kerana dia adalah aset buat pasukan kebangsaan pada masa depan.

"Sudah tentu dia perlu bekerja keras walaupun mereka tidak bermain dalam Piala Malaysia," katanya.