Penyerang negara, Shahrel Fikri Md Fauzi, mahu memastikan kehadiran semula dirinya bersama skuad kebangsaan mampu menyelesaikan masalah jentera serangan untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan ini.

Shahrel yang lebih sinonim dengan panggilan Eky itu terlepas aksi menentang Vietnam di Hanoi bulan lalu ekoran kecederaan selepas bersama dengan skuad negara dalam dua perlawanan pertama kempen kelayakan bertemu Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketiadaan penyerang Perak itu menyaksikan skuad negara kurang pilihan di jentera serangan hingga menyerlahkan ketumpulan penyudah ketika berdepan Vietnam.

"Semua tahu penyerang sedang tumpul, jadi saya akan beri yang terbaik. Tiada kelainan kerana jauh kualiti jika dibandingkan dengan Syafiq (Ahmad) dan Norshahrul (Idlan Talaha) tetapi saya sedar saya perlu berlatih untuk menajamkan penyudah," katanya.

Bekas penyerang PKNP dan Nakhon Ratchasima itu dijangka berdepan saingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama bersama penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq, dan penggempur berpengalaman, Norshahrul.

"Saya memang mahu beri yang terbaik. Malaysia memang kekurangan penyerang, jadi bukan mudah untuk berada dalam kesebelasan utama. Jika diberi peluang, saya mahu tampilkan aksi 100 peratus."