Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, berharap persembahan cemerlang Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dapat dibawa ke pentas antarabangsa, terutama untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Thailand dan Indonesia bulan ini.

Safawi dan Syafiq menjadi antara watak penting dalam kejayaan JDT memenangi Piala Malaysia musim ini.

Kedua-dua pemain itu bukan sahaja cemerlang meraih jaringan di peringkat separuh akhir, malah turut berupaya menghasilkan gol di pentas final.

Sememangnya sentuhan cemerlang Safawi dan Syafiq ditagih Cheng Hoe tatkala jentera serangan Harimau Malaya menyerlahkan kepincangan dalam aksi terakhir bertemu Vietnam, bulan lalu.

"Selepas aksi semalam dan separuh akhir, Safawi telah bermain dengan baik. Diharapkan kedua-dua pemain ini meraih keyakinan untuk perlawanan bersama skuad kebangsaan," kata pengendali itu.

Hari pertama latihan skuad kebangsaan hari ini disertai 12 pemain tanpa kelibat pemain JDT dan Kedah, termasuk pemain tengah, Brendan Gan.

Tonggak Perak itu diberi rehat selama dua hari sebelum melaporkan diri Selasa ini untuk persediaan menentang Tajikistan bagi aksi persahabatan antarabangsa, 9 November ini.

"Kami kesuntukan masa tetapi saya mahu pemain fokus dalam latihan serta setiap perbincangan dalam pasukan. Mereka perlu fokus 100 peratus," tambah Cheng Hoe.