Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023: Pengalaman Norshahrul dalam pertimbangan jurulatih 

Oleh Staff Writer 16 November 2019 6418
Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023: Pengalaman Norshahrul dalam pertimbangan jurulatih 
Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, bakal mempertimbangkan kelibat Norshahrul Idlan Talaha dalam kesebelasan utama menjelang perlawanan dengan Indonesia dalam pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala 2023 Asia, Selasa ini. 

Ia berikutan ketiadaan Syafiq Ahmad bagi perlawanan kelima Kumplan G itu ekoran sudah mengumpul dua kad kuning, termasuk dalam aksi dengan Thailand kelmarin. 

Jurulatih berusia 51 tahun itu tidak teragak-agak untuk mempertimbangkan beberapa nama lain sambil menganggap Norshahrul antara pemain yang dimaksudkan.

Jika dinilai prestasi pemain berpengalaman itu ketika ini berbanding keampuhannya 10 tahun lalu, ia jelas membawa perbezaan ketara.

Namun, reputasi yang dimiliki penggempur Pahang berkenaan mampu menggerunkan Indonesia. 

"Kami masih lagi mempunyai pilihan terbaik. Ada seorang dua pemain lagi yang boleh mengisi bahagian serangan. 

"Norshahrul memiliki pengalaman luas dan mampu menawarkan sesuatu kepada pasukan tetapi saya masih mempunyai beberapa hari lagi untuk membuat persiapan," katanya di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, petang tadi. 

Dalam masa sama, ketiadaan Matthew Davies yang juga bakal menjalani penggantungan memaksa Cheng Hoe perlu bergantung harap kepada kelibat Syahmi Safari.

Namun, anak jati Selangor itu masih dalam proses pemulihan berikutan kecederaan di bahagian paha dalam aksi dengan Gajah Perang itu. 

"Kami begitu positif dan tiada masalah untuk menentang Indonesia."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen