Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi kelonggaran buat buat mana-mana pasukan yang terlibat dengan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan ini dan Jun depan tetapi bersyarat.

Situasi itu memberi ruang buat Malaysia meneruskan jadual aksi kelayakan yang sepatutnya berlangsung dalam masa terdekat, namun syaratnya perlu ada persetujuan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam.

Jika jawapan positif, pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengemukakan surat rasmi untuk meneruskan saingan yang telah dijadualkan.

Dalam masa sama, tarikh penundaan aksi kelayakan masih tiada keputusan rasmi dan difahamkan, ia hanya akan diumumkan dalam tempoh seminggu lagi kerana membabitkan 64 perlawanan yang perlu dijalankan dalam tempoh empat hari.

"Kedua-dua negara atau persatuan harus bersama-sama membuat keputusan, bukan melibatkan satu pihak. Selepas kedua-duanya bersetuju, ia boleh dipanjangkan kepada FIFA untuk kata akhir," kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul.

"Pusingan seterusnya juga diambil kira. Tarikh tamat empat lagi perlawanan perlu dilihat sebelum membuat keputusan mengenai aksi pusingan ketiga. Mungkin pada September tetapi banyak yang perlu difikirkan."