Tan Cheng Hoe membuat kejutan apabila kembali menyenaraikan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri, dalam skuad Harimau Malaya sambil menampilkan tiga muka baru yang diketuai pemain tengah Felda United, Danial Amier Norhisham, untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Hazwan disenaraikan dalam skuad 27 pemain untuk ke kempen pusingan kedua kelayakan bertemu Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 5 dan 10 September ini.

Pemilihan Hazwan mencuri tumpuan setelah pemain berusia 28 tahun itu digugurkan daripada skuad negara sebelum ini kerana kurang minit permainan bersama kelabnya musim ini.

Cheng Hoe, bagaimanapun, mempunyai alasan untuk memanggil semula Hazwan untuk memperkuatkan pasukannya walaupun menyedari situasi membabitkan bekas pemain Selangor itu ketika ini.

"Ramai orang akan mempersoalkan tentang pemilihan Hazwan Bakri kerana barisan kejurulatih masih percaya dia boleh memberi impak kepada pasukan kebangsaan.

"Selama ini, kita ketandusan pemain di bahagian serangan dan ini peluangnya untuk bersama pasukan kebangsaan," katanya.

Di sebalik pemilihan kontroversi Hazwan, jurulatih itu tetap memberi suntikan nafas baru ke atas skuad kebangsaan dengan menyenaraikan Danial Amier, J. Partiban, Brendan Gan dan Jafri Firdaus Chew yang kembali mendapat panggilan selepas sekian lama.

"Ketiga-tiga pemain ini telah menampilkan persembahan baik dalam liga tetapi sudah tentulah ujian terbaik untuk menguji mereka adalah ketika menentang Jordan," tambahnya.

Kem latihan pusat skuad negara akan bermula Ahad ini dan empat pemain daripada senarai 27 pemain itu kemudian akan digugurkan selepas aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan, 30 Ogos ini.

Senarai penuh pemain:

Penjaga Gol: Mohd Farizal Marlias (JDT), Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah).

Pertahanan: Adam Nor Azlin, La'vere Corbin-Ong (JDT), Shahrul Mohd Saad, Nazirul Naim Che Hashim (Perak), Matthew Davies (Pahang), Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Dominic Tan Jun Jin (Police Tero).

Pemain Tengah: Mohamed Syamer Kutty Abba (JDT), Brendan Gan (Perak), Muhamad Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Mohd Faiz Mohd Nasir (Selangor), Muhammad Akram Mahinan (PKNS FC), Muhamad Danial Amier Norhisham (Felda United).

Pemain Sayap: Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (JDT), J. Partiban (Perak), Mohamadou Sumareh (Pahang), Muhammad Hadin Azman (Felda United).

Penyerang: Muhammad Syafiq Ahmad, Ahmad Hazwan Bakri (JDT), Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak), Norshahrul Idlan Talaha (Pahang), Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (PKNS FC).