Kelayakan Piala Dunia 2022: Brendan teruja kembali selepas tiga tahun 

Oleh Staff Writer 25 Ogos 2019 4130
 Kelayakan Piala Dunia 2022: Brendan teruja kembali selepas tiga tahun 
Pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, berharap sembilan muka baru yang dipanggil untuk kem kebangsaan dapat segera menyesuaikan diri dengan tahap permainan antarabangsa menjelang saingan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023 berdepan Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), 5 dan 10 September depan.

Satu kelegaan buat jurulatih berusia 51 tahun apabila kesemua 27 pemain yang dipanggil bebas daripada kecederaan ketika melaporkan diri untuk hari pertama kem latihan pusat hari ini walaupun majoriti pemain berkenaan terlibat dengan Piala Malaysia.

Baginya, adalah penting buat pemain yang kembali hadir ke pangkuan skuad kebangsaan seperti Brendan Gan, Hadin Azman serta muka baru, Muhammad Daniel Amier Norhisham dan J. Partiban, untuk segera menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan yang lain dalam usaha membentuk keserasian.

"Saya mengharapkan ketika dalam kem kebangsaan, pemain-pemain berkawan seperti sebuah keluarga.

"Kami ada misi untuk berbuat sesuatu demi pasukan negara," katanya ketika ditemui dalam latihan skuad negara di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras, petang tadi. 

Dalam pada itu, Brendan mengakui gembira dapat kembali dalam skuad kebangsaan selepas hampir tiga tahun tersisih ekoran kecederaan ligamen lutut. 

Tambahan pula, kehadiran lima pemain The Bos Gaurus turut memudahkan bekas tonggak Sydney FC itu untuk menyesuaikan diri selain meningkatkan keyakinannya merebut tempat. 

"Saya teruja untuk kembali selepas tiga tahun terpinggir. 

"Saya berehat lama dan ia situasi yang sukar. 

"Saya akan terus berusaha keras dan berharap dapat merebut tempat dan mewakili Malaysia," kata pemain tengah itu. 

Harimau Malaya akan berdepan Jordan dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat depan. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen