Jurulatih skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada, optimis beliau mampu membentuk skuad ampuh untuk menghadapi dua perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Korea Utara, 10
dan 13 November ini, walaupun berdepan tempoh singkat untuk melakukan persediaan.


Kem latihan pusat kali ini menyaksikan 10 pemain dari Perak, Pahang, Selangor dan Felda United telah melaporkan diri hari ini sementara baki 14 pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah akan menyertai skuad kebangsaan Isnin ini kerana terlibat dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.

Berdasarkan situasi itu, Vingada hanya dapat melakukan latihan penuh di tanah air pada Isnin -- sehari sebelum mereka berlepas ke Buriram, Thailand.

"Meskipun mereka adalah pemain yang bagus, namun kami belum pernah bekerjasama.

"Dengan kualiti yang mereka miliki dan taktikal yang pernah didedahkan, kami boleh mengimbanginya dalam tempoh yang singkat," jelas Vingada.

Bagaimanapun, ini merupakan kali pertama Vingada dapat menghimpunkan barisan terbaiknya sejak Jun lalu membabitkan lapan pemain baru, antaranya Afiq Fazail, Syafiq Ahmad dan Junior Eldstal.

Sudah pasti, harapan tinggi diletakkan di bahu beliau untuk memastikan skuad negara melakar kemenangan pertama dalam kempen kelayakan ini.

"Sungguhpun dapat menyenaraikan skuad yang bagus, masih terdapat halangan buat kami.

"Seperti yang kita ketahui, Safiq Rahim akan menjalani penggantungan, mujur ia membabitkan hanya satu perlawanan.

"Malah, Aidil Zafuan Abdul Radzak juga digantung."