Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, percaya sasaran tertinggi yang ditetapkan Peta Hala Tuju F:30 untuk melihat skuad kebangsaan layak ke Piala Asia China 2023 mampu direalisasikan setelah skuad Harimau Malaya mendapat undian seimbang dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023.

Harapan badan induk itu untuk mencapai salah satu matlamat F:30 kini disandarkan di bahu skuad senior kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe.

Ia selepas skuad B-22 negara gagal melunaskan misi layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 gara-gara terkandas dalam kelayakan Kejohanan AFC B-23, awal tahun ini.

Dengan tuah undian kelayakan Piala Dunia 2022 memihak skuad kebangsaan, beliau enggan lagi berduka apabila menuntut anak buah Cheng Hoe memanfaatkan peluang yang sudah ada depan mata.

"Ini peluang kita.

"Kalau kita gagal menempatkan diri dalam kalangan 12 pasukan terbaik pusingan kedua, maka kami akan diundi lagi tahun depan sempena Piala Asia 2023 dan kemungkinan hasil undian itu lebih buruk daripada ketika ini.

"FAM menetapkan sasaran untuk layak ke Piala Asia 2023," ujar Hamidin.

Undian di Rumah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil, semalam menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan G di samping tiga negara Asia Tenggara, Indonesia, Thailand dan Vietnam selain Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Hamidin turut mengingatkan kepada barisan pemain negara untuk mengelak tragedi dibelasah UAE 0-10 dalam kempen sama, empat tahun lalu.

"Dalam bola sepak, perkara ini boeh terjadi, oleh itu kami perlu lebih serius.

"Saya berpendapat kalau pengurusan, pemain, ketua jurulatih dan peminat-peminat memberi sokongan, maka peluang untuk kita berada di tahap yang dihajati Insya-Allah boleh tercapai," katanya.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, mengakui tiada alasan buat Cheng Hoe dalam memastikan tiket ke Piala Asia 2023 menjadi realiti.

Beliau menegaskan tuah undian tidak selalu terjadi, sekali gus menganggap skuad kebangsaan berpeluang cerah untuk melepasi halangan pusingan kedua kelayakan.

"Dulu kita sering terkandas dalam pusingan pertama.

"Jadi dengan peluang yang ada ketika ini, saya harap barisan pemain supaya lebih fokus dan bersedia menghadapi perlawanan-perlawanan ini," ujar beliau.