LOKOMOTIV PLOVDIV 1 TOTTENHAM 2

Karier Tanguy Ndombele di Tottenham meniti di landasan tepat selepas Jose Mourinho menyatakan kegembiraannya terhadap peningkatan prestasi pemain Perancis itu.


Tonggak berusia 23 tahun itu tiba dari Lyon dalam perjanjian termahal kelab London berkenaan tahun lalu yang dilaporkan bernilai £64 juta (RM342.7j), sebaliknya menempuhi musim pertama yang sukar di London utara.

Pemain tengah berteknikal tinggi itu sekadar membuat 12 kemunculan skuad utama dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019-20 selain faktor kecederaan yang menyumbang kepada permulaan goyahnya.

Spekulasi mengaitkannya dengan perpindahan mula dibangkitkan sejak awal tahun ini dan bulan ini, dia dikaitkan ke Juventus.

Bagaimanapun, selepas meledak gol kemenangan dramatik 2-1 dalam kelayakan Liga Europa di Lokomotiv Plovdiv awal pagi tadi, pengurus terbabit menjelaskan situasi yang dihadapi anak buahnya itu dan menawarkan pandangan optimis kepada penyokong.

"Tanguy sedang melalui proses evolusi," katanya kepada wartawan selepas menyaksikan barisan pemainnya ketinggalan pada minit ke-71 sebelum menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-85.

"Musim lalu dia gagal menyerlah. Musim lalu dia terjebak dalam situasi di mana saya tidak dapat nampak sebarang evolusi. Ketika ini dia berlatih dengan sangat baik.

"Dia sudah sembuh daripada kecederaannya, fizikalnya pulih dan hari ini dia mampu memberikan apa yang kami perlukan dalam 30 minit terakhir ini.



"Pada saat ini, saya menaruh kepercayaan terhadap Tanguy. Saya tidak pernah meragui kualitinya. Tidak pernah. Saya hanya meragui motivasi, komitmen serta sikap profesionalnya.

"Ketika ini, saya menaruh kepercayaan kepadanya. Hari ini, kami memutuskan untuk tidak menurunkannya dalam kesebelasan utama kerana dia sendiri berasakan memerlukan sedikit masa, tetapi saya berpendapat bahawa Tanguy mampu melakukannya dengan baik untuk kami."

Desas-desus pasaran pemain juga menawarkan berita gembira buat kelab itu ekoran proses pinjaman Gareth Bale daripada Real Madrid hampir lengkap.

Begitupun, Mourinho tidak tertarik dengan situasi itu selain enggan mengulas panjang.

"Saya tidak dapat memberikan komen, saya tidak mengulas sesuatu yang saya tidak tahu," tambahnya.

"Bagi saya, pada masa ini, sehingga saya diberitahu Gareth Bale adalah pemain Tottenham, saya masih berfikir dan berasakan serta menghormati hakikat bahawa dia pemain Real Madrid.

"Jadi, saya tidak akan memberikan sebarang komen mengenai pemain Real Madrid."

Kemenangan itu menyaksikan Spurs bakal bertemu kelab Macedonia, Shkendija, minggu depan untuk pusingan ketiga kelayakan.