Ketua jurulatih skuad bola sepak B-19 negara, Bojan Hodak, tidak gembira dengan prestasi pertama anak buahnya dalam kelayakan Kejohanan AFC B-19 walaupun mereka berjaya menewaskan Timor Leste, 3-1 di Paju, Korea Selatan, hari ini.

Menang dalam aksi pertama belum cukup memberikan kepuasan kepada Hodak, yang menyifatkan anak buahnya gagal beraksi pada tahap yang lebih sempurna dan menganggap masih lagi gugup selain bergelut untuk menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di Paju.

Kesukaran anak buahnya begitu ketara dalam babak pertama, namun dia lega apabila pemain-pemain memperkemaskan gerakan dalam separuh masa kedua sehingga berjaya meledak tiga gol.

Kekurangan yang perlu diperbaiki barisannya terarah kepada bahagian pertahanan yang dilihat gagal beraksi cemerlang dan banyak membuka ruang kepada pihak lawan.

"Pada separuh masa pertama, Timor Leste tidak memberi sebarang ruang kepada kami. Namun, pada babak kedua, mereka tidak lagi memberikan kami tekanan dan dengan itu, kami lebih bebas mengatur gerakan.

"Pemain sedar jika mereka berhajat untuk menang dalam pertemuan dengan Indonesia dan Korea Selatan, mereka harus memperkemaskan permainan," ujarnya ketika dihubungi.

Malaysia bakal meneruskan saingan bertemu Brunei yang tewas 5-0 di tangan Indonesia, sebentar tadi.

Hodak mahu anak buahnya lebih bersedia dengan corak permainan bertahan yang akan ditampilkan Brunei merujuk kepada aksi pertama mereka dengan skuad muda Garuda itu.

"Kami membuat beberapa kesilapan, terutama di bahagian benteng sehingga memberikan beberapa peluang buat lawan. Mujur kecekapan penjaga gol (Muhammad Azri Abdul Ghani) telah menafikan peluang lawan.

"Dua perlawanan selepas ini, terutama berdepan Indonesia dan Korea Selatan, kami harus memantapkan lagi bahagian pertahanan," ujarnya.