Ian Wright menggesa UEFA untuk berusaha keras menangani isu perkauman dalam bola sepak selepas pemain England menjadi sasaran sekumpulan peminat Bulgaria ketika mencatat kemenangan 6-0 dalam aksi kelayakan Euro 2020 di Sofia, awal pagi tadi.

Permainan terpaksa dihentikan dua kali sebelum rehat selepas pemain menjadi sasaran ejekan perkauman.

Pemain yang meraih penampilan pertama bersama England, Tyrone Mings, mengadukan masalah itu kepada pembantu pengadil dan selepas itu, pengumuman dilakukan di Stadium Nasional Vasil Levski.

Sebelum rehat, England mendahului 4-0 dan bekas penyerang The Three Lions, Wright, yang menyaksikan perlawanan itu di tepi padang sewaktu menjalankan tugas bersama ITV Sport, berkata UEFA tidak melakukan kerja dengan betul untuk mengatasi masalah itu.

"Apa yang terjadi, terdapat sekelompok peminat Bulgaria yang tidak menunjukkan rasa hormat," katanya.

"UEFA tidak menjalankan tugasnya dengan baik. Saya berbangga melihat tindakan pemain England ketika itu."

England dan Bulgaria kembali menyambung perlawanan sambil kapten tuan rumah, Ivelin Popov, dilihat bercakap dengan peminat pasukannya.

Beberapa kawasan di tempat duduk utama ditutup untuk mengelakkan isu melibatkan perkauman sambil Wright menegaskan dia berharap akan ada tindakan tegas diambil.

"Ini adalah hari yang indah," katanya.

"Ia menyedihkan melihat peminat Bulgaria dan bagaimana mereka mewakili negara tetapi ia hari yang hebat untuk mengatasi isu perkauman. Kain rentang mengenai anti perkauman boleh dilihat daripada tempat duduk tetapi ia tidak memberikan apa-apa makna.

"Apa yang boleh dilihat adalah sekumpulan peminat yang tidak peduli dan perlu diajar. Itu yang patut berlaku.

"Sebagai pemain berkulit hitam, kami mendengar tentangnya selama bertahun-tahun. Ia bukan apa yang anda mahu lakukan kerana anda memerlukan pemain kulit putih bersama anda dan bersatu.

"Jika ia berlaku, anda boleh melihat kesannya."