Kelayakan Euro 2020: Republik Ireland bakal harungi aksi 'final' -- McCarthy

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2019 472
Kelayakan Euro 2020: Republik Ireland bakal harungi aksi 'final' -- McCarthy
SWITZERLAND 2 REPUBLIK IRELAND 0

Pengurus Republik Ireland, Mick McCarthy, melabel perlawanan menentang Denmark ibarat perlawanan akhir yang bakal menanti barisan pemainnya selepas peluang kelayakan ke Euro 2020 terjejas ekoran kekalahan kepada Switzerland, awal pagi tadi. 


Haris Seferovic membuka tirai jaringan sebelum gol Shane Duffy mengesahkan kemenangan 2-0 buat Switzerland ke atas lawan yang terpaksa menamatkan aksi dengan 10 pemain susulan kad merah ke atas Seamus Coleman.

Pasukan asuhan McCarthy itu kekal mendahului Kumpulan D tetapi berkongsi mata dengan Denmark sementara Switzerland pula hanya satu mata di belakang. 

Namun, kedua-dua lawan mereka itu mempunyai kelebihan satu perlawanan sebelum tiket ke pusingan akhir dimuktamadkan pada 19 November depan. 

Denmark bakal bertandang ke Dublin, di mana mereka pernah menamatkan harapan seteru itu dalam penentuan perlawanan play-off Piala Dunia 2018. 

"Kami perlu menghadapi Denmark di laman sendiri," kata McCarthy. 

"Saya sudah menjangkakannya sejak awal lagi dan sekarang saya akan menelan hakikat itu. Kami masih berpeluang untuk layak secara automatik."

McCarthy enggan merungut mengenai keputusan yang diraih anak buahnya berikutan tewas buat julung kalinya di peringkat kumpulan itu selain dilanda kekecewaan ketika seri tanpa jaringan dengan Georgia, Sabtu lalu.

"Kami ditumpaskan oleh pasukan yang jauh lebih baik sebenarnya," katanya,

"Khususnya dalam babak pertama memandangkan kami tidak bermain dengan baik. Apa sahaja corak permainan yang diterapkan bukan satu alasan mengenai soal seperti hantaran yang kami pamerkan. 

"Saya mengubahnya dalam pertengahan babak kedua dan ia sedikit membantu. Kami bermain dengan lebih baik dalam separuh masa kedua. Saya fikir ia adalah satu persembahan yang boleh kami banggakan, apatah lagi selepas kehilangan seorang pemain, terutama dalam babak kedua tetapi bukan dalam separuh masa pertama."

Pemain tengah, Glenn Whelan, pula mengakui mereka terlalu menghormati tuan rumah dalam aksi babak pertama di Geneva itu. 

"Kami mengetepikan perasaan itu dalam babak kedua, kami berjuang dan cuba kembali dalam permainan," katanya.

Sementara itu, pengurus Switzerland, Vladimir Petkovic, memuji tindak balas barisan pemainnya selepas tewas kepada Denmark sebelum ini sambil menegaskan bahawa masih banyak yang perlu dilakukan walaupun bakal mengharungi perlawanan yang paling mudah.

"Ini adalah satu persembahan yang baik, kami terpaksa menunjukkan reaksi selepas tewas kepada Denmark dan itulah yang kami lakukan," katanya.

"Keputusan ini tidak membawa makna besar dalam kumpulan ini -- kami masih perlu meraih kemenangan dalam dua perlawanan berikutnya. Jika kami meraih mata yang diperlukan ketika bertemu Georgia dan Gibraltar, maka bolehlah kami mengalihkan perhatian kepada pusingan akhir."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen