Gareth Southgate dan Harry Kane bersetuju kekalahan 1-2 England kepada Republik Czech mengejutkan skuad Three Lions itu daripada lamunan.

Rekod sempurna England dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 lebur di Prague, awal pagi tadi, walaupun penalti Kane terlebih dahulu meletakkan pasukan bimbingan Southgate itu di depan.

Pertahanan, Jakub Brabec, menyamakan kedudukan lima minit kemudian sebelum penyerang gantian, Zdenek Ondrasek, muncul wira apabila meledak gol kemenangan dalam penampilan pertamanya di peringkat antarabangsa di penghujung perlawanan di Eden Arena itu.

England berpeluang untuk menempah tiket ke pusingan akhir sekiranya menang tetapi kini berkongsi 12 mata dengan Republik Czech di puncak Kumpulan A.

Semi-finalis Piala Dunia 2018 itu, bagaimanapun, masih boleh menjamin kelayakan, awal pagi Selasa ini, apabila England bertandang ke Bulgaria sambil Southgate menuntut tindak balas daripada skuad Three Lions selepas kekalahan pertama kepada lawan itu dalam tempoh 10 tahun.

"Daripada segi kebangkitan, kami wajar dipuji tetapi ada usaha yang perlu dilakukan untuk menjadikan pasukan ini benar-benar unggul -- malam ini adalah bukti yang jelas," katanya kepada wartawan.

"Saya selalu bertanggungjawab (atas keputusan), kami cuba pendekatan yang lebih kukuh tanpa bola tetapi ia tidak berlaku. Kami kurang memegang bola dalam babak pertama.

"Daripada segi pemain, ada pemain yang tidak beraksi dengan baik untuk kelab mereka. Itulah situasi yang kami hadapi tetapi secara keseluruhannya, kami harus akur dengan keputusan ini dan sebagai pengurus, saya harus menerimanya.

"Kami perlu memberi tindak balas dengan cara yang betul, kami mempunyai beberapa hari lagi untuk membuat persediaan kerana kami perlu menawarkan ganjaran kepada penyokong menerusi prestasi yang lebih baik.

"Tidak banyak perkara positif yang berlaku. Kami perlu menerima kekalahan ini dan menerima hakikat bahawa kami harus beraksi lebih baik," tambahnya.

Kane mencecah gol antarabangsa yang ke-24, namun penyerang itu bersetuju dengan penilaian Southgate mengenai prestasi di bawah paras sebenar England di Prague.

"Saya fikir ia terpulang kepada kami sendiri," kata Kane kepada ITV. "Ia adalah permulaan yang sempurna buat lawan.

"Kami begitu bersikap sambil lewa dengan bola, kami tidak bergerak dengan pantas dan kami tidak memberi tekanan seperti biasa.

"Aksi separuh kedua adalah lebih baik, kami mempunyai beberapa peluang untuk membunuh permainan, malangnya kami gagal melakukannya.

"Setiap perlawanan di Eropah adalah sukar. Mereka mendapat sokongan padu di tempat sendiri, kadang-kadang tidak mudah untuk beraksi di atas keadaan padang seperti ini tetapi itu bukan alasannya. Ia mengejutkan kami daripada lamunan tetapi kami masih di kedudukan yang baik.

"Masih banyak perkara yang perlu dilakukan, kami memberikan bola terlalu mudah dan kami perlu melihatnya semula. Tidak perlu panik dan kami akan berjuang lagi pada Isnin ini (awal pagi Selasa)."