RUSSIA 4 SCOTLAND 0

Ketua pasukan Scotland, Charlie Mulgrew, berkata barisan pemain perlu bertanggungjawab atas kekalahan buruk 0-4 Tartan Army kepada Russia di Moscow, awal pagi tadi.


Harapan mereka untuk layak secara merit ke pusingan akhir Euro 2020 berakhir setelah melepaskan empat gol dalam babak kedua untuk kekalahan keempat berturut-turut, ketinggalan 12 mata kepada Russia tatkala kempen itu berbaki tiga perlawanan lagi.

Ini bermakna perlawanan play-off, Mac depan, setelah Scotland layak berikutan mengungguli peringkat kumpulan Liga Negara-Negara yang lalu, menyalakan harapan mereka untuk menyertai kejohanan itu pada musim panas depan.

Ia merupakan kempen kelayakan yang mengecewakan buat Scotland, yang menduduki tempat kelima dalam Kumpulan I di belakang Cyprus dan Kazakhstan sambil hanya San Marino di bawah mereka, justeru Mulgrew berkata pasukan itu harus melupakan kekecewaan berkenaan.

"Pemain bertanggungjawab. Kami mengikuti pelan taktikal sehinggalah detik minit ke-60. Ketika dalam keadaan baik, kami gagal melakukan perkara-perkara asas. Ia sudah berlaku beberapa kali," katanya kepada Sky Sports.

"Kami kecewa kerana telah memberikan saingan selama 59 minit dan kemudian melepaskan gol buruk. Mereka juga meledak gol dari tepi kotak penalti dengan penyudah yang baik.

"Mereka adalah pasukan berkualiti tinggi dan itu adalah satu perkara yang kami perlu lihat semula dan seharusnya melakukannya dengan lebih baik lagi.

"Kami amat kecewa dan kami perlu bangkit segera dalam perlawanan seterusnya."

Scotland bakal menamatkan kempen kelayakan dengan perlawanan menentang San Marino, Cyprus dan Kazakhstan, sebelum aksi play-off tahun depan yang menawarkan peluang terakhir buat mereka.