REPUBLIK CZECH 2 ENGLAND 1

Zdenek Ondrasek mengakui masih lagi terkesima apabila muncul wira Republik Czech ketika membenam England dalam penampilan antarabangsa pertamanya.


Pemain yang membuat kemunculan sulung ketika berusia 30 tahun itu menjadi bualan di Prague selepas membantu kebangkitan tuan rumah bagi meningkatkan harapan mereka untuk layak secara automatik ke Euro 2020 menerusi kemenangan 2-1, awal pagi tadi.

Republik Czech kini berkongsi kedudukan dengan England di puncak Kumpulan A setelah mengharungi satu perlawanan melebihi lawan itu dengan saingan berbaki tiga perlawanan lagi.

Ondrasek masuk untuk menggantikan Patrik Schick pada kedudukan 1-1 selepas 65 minit permainan dan penyerang itu hampir tidak percaya bahawa dia telah menjaringkan gol kemenangan ketika menentang semi-finalis Piala Dunia 2018 itu.

"Saya fikir ia masih sukar untuk mempercayainya. Saya gembira kerana dapat menjaringkan gol tetapi saya tidak berasakannya," katanya kepada UEFA.com.

"Ia satu pencapaian yang begitu besar. Saya fikir bahawa kepala saya akan meletup tidak lama lagi kerana saya beraksi dalam perlawanan sulung untuk negara. Saya telah menunggu sejak sekian lama dan saya berjaya menjaringkan gol kemenangan ketika menentang England. Saya sangat gembira, ia sukar dipercayai.

"Pemain di bangku simpanan yang lain sempat berpesan supaya 'jaringkan gol'. Jadi, selepas hantaran luar biasa daripada (Lukas) Masopust, saya menyepaknya dengan sempurna dan saya sangat gembira."

Republik Czech bakal menamatkan kempen kelayakan mereka bulan depan dengan menjadi tuan rumah kepada Kosovo sebelum berlepas ke Bulgaria untuk aksi terakhir.