Pengurus Perancis, Didier Deschamps, menegaskan Lucas Hernandez sudah bersedia untuk memainkan peranan penting dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 menentang Iceland walaupun timbul kebimbangan daripada Bayern Munich ekoran kecergasannya.

Hernandez terlepas dua perlawanan terakhir bersama Bayern berikutan kecederaan lutut tetapi tetap merupakan sebahagian daripada skuad Perancis untuk perlawanan menghadapi Iceland dan Turki.

Juara Bundesliga itu cuba menghalang Les Bleus daripada menyenaraikan pertahanan serba boleh itu kerana percaya adalah lebih baik dia mendapatkan rehat.

Doktor kelab, Hans-Wilhelm Muller-Wohlfahrt, pada awal minggu ini berkata pemain itu tidak mungkin akan dapat bermain di Reykjavík tetapi Deschamps menyarankan sebaliknya menjelang pertemuan awal pagi esok.

"Dia sudah bersedia, dia berasa dalam keadaan baik dan mempunyai perasaan yang baik," kata pengendali itu dalam sidang berita sebelum perlawanan.

"Kami telah melakukannya secara beransur-ansur. Dia sudah bebas daripada kecederaan yang dialaminya. Tetapi untuk bermain sepanjang 90 minit, dia mesti diturunkan dalam kesebelasan utama dan saya tidak pasti tentang hal itu, tapi ya, dia boleh beraksi."

Trio berpengaruh, Kylian Mbappe, Paul Pogba dan Hugo Lloris, turut diketepikan daripada dua tugasan berkenaan.

Pengendali itu mengakui ia bukan satu percaturan yang menarik dan dalam masa yang sama, menyeru anak buahnya yang lain supaya meningkatkan prestasi mereka.

"Ia menjejaskan pasukan ini secara keseluruhannya memandangkan mereka adalah tonggak yang sangat penting dalam skuad ini," katanya. "Daripada segi kepimpinan pula -- Hugo merupakan kapten sementara Paul adalah pemimpin yang ekspresif.

"Tetapi ada pemain lain yang bakal diturunkan dan sering memainkan peranan itu seperti Olivier Giroud, Raphael Varane, Blaise Matuidi dan Steve Mandanda.

"Bagaimanapun, jelas sekali bahawa saya lebih suka jika boleh memilih semua pemain. Saya menaruh kepercayaan tinggi terhadap pemain yang ada di sini."