SEPANYOL 5 ROMANIA 0

Sepanyol mengesahkan kelayakan ke pusingan akhir Euro 2020 dengan bergaya apabila menewaskan Romania 5-0 di Madrid awal pagi tadi.


Skuad kendalian Robert Moreno itu mengesahkan tempat ke kejohanan utama selaku juara Kumpulan F selepas turut menewaskan Malta 7-0 di Wanda Metropolitano, Sabtu lalu.

Santi Cazorla terlebih dahulu menggegarkan palang gol lawan sebelum Fabian Ruiz membuka jaringan pada minit kelapan.

Jaringan berganda Gerard Moreno kemudian memberikan kelebihan selesa buat Sepanyol dalam babak pertama.

Gol sendiri Adrian Ros menjadikan kedudukan 4-0 sebelum ke bilik persalinan dan pemain gantian, Mikel Oyarzabal, melengkapkan keputusan perlawanan pada minit ke-91.

Kekasaran yang dilakukan Jose Gaya menyaksikan gol awal pasukan tuan tumah itu dibatalkan pengadil sebelum percubaan dari jarak 18 ela Cazorla sekadar hinggap di jaring.

Penguasaan Sepanyol akhirnya membuahkan hasil apabila Fabian tenang menyumbat masuk gol antarabangsa pertamanya selepas Ciprian Tatarusanu gagal menangkap kemas percubaan awal Dani Carvajal.

Romania pasti menyamakan kedudukan seandainya penjaga gol, Kepa Arrizabalaga, gagal menafikan percubaan George Puscas dan usaha keras itu ternyata berbaloi apabila Gerard menanduk masuk hantaran lintang Cazorla tidak lama selepas itu.

Cazorla sekali lagi menjadi pencetus jaringan apabila hantarannya kepada Gaya disusuli dengan hantaran lintang yang disudahkan Gerard.

Malang kian merundung Romania dalam babak pertama dengan Rus tertampan hantaran 'cutback' Gerard ke gawang Tatarusanu pada minit ke-45.

Sergio Ramos hampir menjadikan kedudukan 5-0 pada awal babak kedua, namun voli jarak dekat ketua pasukan itu sekadar melambung tinggi.

Alvaro Morata kelihatan bergelut di jentera serangan Sepanyol, namun menghasilkan percubaan yang hampir membuahkan hasil pada minit ke-55.

Usaha Sepanyol memburu gol kelima akhirnya tiba dalam waktu kecederaan dengan Oyarzabal menghasilkan penyudah gemilang untuk skuad La Roja itu menyertai kejohanan utama dengan kemenangan bergaya.