BULGARIA 0 ENGLAND 6

Kapten England, Harry Kane, berkata dia berbangga dengan rakan sepasukannya selepas aksi kelayakan Euro 2020 di Bulgaria dicemari insiden perkauman.


Aksi awal pagi tadi di Sofia dicemari oleh ejekan perkauman yang dilontarkan kepada pemain England sewaktu mereka mencatat kemenangan 6-0 ke atas tuan rumah, Bulgaria.

Perlawanan terpaksa dihentikan dua kali sebelum rehat tatkala anak buah Gareth Southgate itu meraih kemenangan mudah, di mana seluruh penonton di Stadium Nasional Vasil Levski menggesa ejekan perkauman dihentikan sebelum beberapa peminat Bulgaria diarah meninggalkan stadium.

Pemain England diberitahu oleh pegawai perlawanan bahawa tindakan diskriminasi serta menghentikan perlawanan boleh dilakukan, namun aksi Kumpulan A itu akhirnya berjaya ditamatkan.

Selepas perlawanan, Kane -- yang menutup tirai jaringan dengan gol keenam selepas Marcus Rashford memecah kebuntuan dan Raheem Sterling serta Ross Barkley masing-masing menghasilkan dua gol -- memberitahu wartawan: "Saya sangat berbangga dengan rakan sepasukan serta semua orang yang terlibat bersama skuad kebangsaan hari ini. Ia tidak mudah.

"Kami membuat keputusan untuk terus beraksi. Anda boleh lihat kami bersatu sebelum rehat sebelum membuat keputusan untuk tindakan seterusnya.

"Semua pemain mahu meneruskan permainan dan berbincang di atas padang. Tidak mudah untuk beraksi dalam persekitaran sebegitu tetapi kemenangan 6-0 dan persembahan yang ditunjukkan, saya cukup berbangga."

Kane juga menambah: "Terdapat perbincangan di dalam bilik persalinan dan semua orang mahu meneruskannya.

"Jika terdapat pemain yang tidak mahu, kami tidak akan lakukan. Ia menunjukkan kematangan dalam pasukan serta perwatakan setiap pemain yang ada hari ini."