Kelayakan Euro 2020: Jaringan Doherty gagal selamatkan Ireland

Oleh Staff Writer 19 November 2019 144
Kelayakan Euro 2020: Jaringan Doherty gagal selamatkan Ireland
REPUBLIK IRELAND 1 DENMARK 1

Denmark mengesahkan tempat dalam pusingan akhir Euro 2020 selepas mengikat Republik Ireland 1-1 di Dublin awal pagi tadi.


Perebutan tiga pasukan dalam memburu dua slot kelayakan automatik ke kejohanan utama itu diakhiri dengan Switzerland, yang menewaskan Gilbraltar 6-1 dalam satu lagi perlawanan, menduduki tangga teratas.

Ireland memerlukan kemenangan dalam perlawanan itu untuk menduduki tangga kedua kumpulan dan ia hampir menjadi kenyataan apabila Matt Doherty memadamkan jaringan pembukaan Martin Braithwaite.

Bagaimanapun, gol kemenangan yang dicari-cari mereka tidak kunjung tiba dan skuad kendalian Mick McCarthy itu perlu melalui pusingan playoff tahun depan.

Denmark kehilangan khidmat Thomas Delaney dan Andreas Cornelius dalam babak pertama dan Conor Hourihane hampir memperoleh jaringan awal buat tuan rumah.

Namun, penyerang Aston Villa itu gagal menewaskan penjaga gol Denmark, Kasper Schemeichel, apabila melepaskan sepakan lemah susulan hantaran David McGoldrick.

Menyedari hanya kemenangan mampu menyelamatkan kempen mereka, Ireland beraksi dengan lebih garang dalam babak kedua dan hampir memecahkan kebuntuan menerusi percubaan Hourihane pada minit ke-49.

Denmark kemudian terus bernasib baik apabila percubaan McGoldrick melepasi palang gol Schmeichel.

Tetapi pasukan pelawat itu terlebih dahulu menemui sasaran pada 17 minit terakhir dengan Braithwaite, yang menantikan hantaran lintang Henrik Dalsgaard, melencongkan bola melepasi kawalan penjaga gol, Darren Randolph.

Lima minit sebelum tamat perlawanan, Doherty menanduk masuk hantaran lintang Enda Stevens, namun ia masih gagal membawa Ireland ke kejohanan utama itu tahun depan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen