Jordan Henderson menuntut permohonan maaf daripada Krasimir Balakov selepas pengendali Bulgaria itu tidak menunjukkan sikap menolak ejekan perkauman yang diterima pemain England sewaktu mencatat kemenangan 6-0 dalam aksi kelayakan Euro 2020 di Sofia, awal pagi tadi.

Perlawanan terpaksa dihentikan dua kali sebelum rehat tatkala anak buah Gareth Southgate itu meraih kemenangan mudah, di mana seluruh penonton di Stadium Nasional Vasil Levski menggesa ejekan perkauman dihentikan sebelum beberapa peminat Bulgaria diarah meninggalkan stadium.

Pemain England diberitahu oleh pegawai perlawanan bahawa tindakan diskriminasi serta menghentikan perlawanan boleh dilakukan walaupun Harry Kane menutup tirai jaringan dengan gol keenam selepas Marcus Rashford memecah kebuntuan dan Raheem Sterling serta Ross Barkley masing-masing menghasilkan dua gol.

Henderson dilihat bertikam lidah dengan Balakov ketika permainan dihentikan dan dia terkejut apabila mendengar pengurus berusia 53 tahun itu mahu dakwaan ejekan perkauman itu dibuktikan, malah dia mengkritik tindakan peminat England yang mencetuskan isu tersebut.

"Saya bercakap seketika dengan pengurus mereka. Ia tidak boleh diterima, sesuatu perlu dilakukan," kata kapten Liverpool itu kepada Sky Sports News.

"Dia perlu meminta maaf, mewakili pasukan dan peminatnya. Dia tahu apa yang berlaku. Dia bertanya kepada saya apa masalah yang berlaku.

"Apabila saya berkata bahawa dia tahu apa yang terjadi, ia mengecewakan apabila dia menafikannya. Diharapkan dia akan melihatnya semula dan meminta maaf kerana sesiapa sahaja yang menyaksikan perlawanan itu akan kecewa."

England berbincang sama ada patut meneruskan perlawanan selepas rehat dan Henderson, yang berang dengan apa yang berlaku, berbangga dengan cara pasukannya menghadapi situasi tersebut.

"Saya marah," tambahnya.

"Mereka adalah rakan sepasukan saya, kawan yang telah saya kenal untuk tempoh yang lama dan berkongsi bilik persalinan bersama mereka.

"Ia sesuatu yang mengejutkan. Saya sangat marah tetapi permainan harus diteruskan dan anda harus fokus kepada bola sepak.

"Sewaktu rehat, kami berbincang mengenainya dan mahu meneruskan aksi. Jika seorang pemain tidak mahu melakukannya, kami tidak akan meneruskan perlawanan.

"Namun, apa yang jelas, kami mahu membuatkan mereka menderita dan tidak menang. Saya fikir kami berjaya."