PERANCIS 1 TURKI 1

Antoine Griezmann berkata Perancis bersedih selepas gagal menundukkan Turki dalam saingan kelayakan Euro 2020 walaupun beraksi pada tahap terbaik awal pagi tadi.


Perancis dinafikan peluang untuk mengesahkan kemaraan ke Kejohanan Eropah tahun depan lebih awal susulan keputusan 1-1 ketika berdepan Turki di Paris.

Pemain gantian, Olivier Giroud, tampak hampir pasti menempah tiket Perancis ke Euro 2020 menerusi tandukan pada minit ke-78 tetapi Kaan Ayhan merencatkan kegembiraan juara dunia itu.

"Kami agak sedih dan ia agak pelik kerana kami beraksi dengan salah satu persembahan terbaik.

"Kami mencipta gol menerusi sepakan sudut tetapi masih dibolosi daripada situasi bola mati. Ia mencetuskan kemarahan tetapi kami harus bertenang. Kami perlu belajar daripada kesilapan dan kami tidak sempurna," kata Griezmann.

"Kami harus bangkit. Pengurus pasukan memberitahu bahawa dia gembira dengan kami serta persembahan yang kami tampilkan. Masih ada dua perlawanan dan kami perlu memenanginya. Perlu menang tetapi ia memalukan."

Keputusan itu meletakkan Perancis di tangga kedua Kumpulan H di belakang Turki yang mendahului berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan selepas lapan perlawanan.

"Mereka menjaringkan gol dalam keadaan sama seperti pertemuan sebelum ini," ujar pengendali Perancis, Didier Deschamps.

"Ia satu keperluan untuk menang berdasarkan corak permainan dan peluang tetapi lawan menyumbat gol daripada situasi bola mati meskipun kurang meraih peluang. Kami dihidangkan banyak kesempatan tetapi hanya sempurnakan menerusi Giroud.

"Kami tidak menang. Keputusan memainkan peranan. Kami berkongsi mata, masih bergelar dua pasukan teratas dalam kumpulan. Ia sentiasa sukar, perjalanan masih jauh. Pasukan ini begitu bagus dalam bertahan dan layak berada di kedudukan itu."

Pengurus Turki, Senol Gunes, menambah: "Satu mata cukup bagus buat kami. Saya ucapkan tahniah buat pemain. Bagus untuk pulang ke Turki sebagai pendahulu.

"Kami menentang lawan yang kuat. Mereka lebih bagus berbanding kami, meraih banyak peluang tetapi kami lebih gigih berusaha."