Pengurus Belgium, Roberto Martinez, tidak khuatir tentang berat badan berlebihan Eden Hazard di Real Madrid menjelang perlawanan Kumpulan I, kelayakan Euro 2020 dengan San Marino, awal pagi esok.

Laporan di Sport pada Julai lalu mendakwa berat badan Hazard melebihi tujuh kilogram daripada sepatutnya ketika dia menyertai skuad Los Blancos itu dalam tugasan pra-musim.

Bintang Belgium itu menempuhi tempoh sukar ketika memulakan kerjayanya dalam LaLiga sejak tiba daripada Chelsea dalam jendela perpindahan lalu yang menyaksikannya merekodkan gol pertamanya buat kelab itu ketika menumpaskan Granada 4-2, hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, atas bakat yang ada padanya, Martinez tidak percaya keadaan fizikal pemain itu dalam situasi yang begitu membimbangkan.

"Dia seorang yang amat tenang, bukannya jenis pemain yang mencari kemasyhuran individu," katanya kepada Deportes Cuatro.

"Sama ada berat badannya berlebihan atau tidak, Hazard boleh memecahkan, mengucar-ngacirkan benteng serta membuat perbezaan dalam perlawanan.

"Bakat semula jadinya tidak bergantung kepada berat badannya."

Martinez turut mempertahankan penjaga gol, Thibaut Courtois.

Pemain berusia 27 tahun itu dikeluarkan sejurus babak kedua bersambung ketika mereka seri 2-2 dengan Club Brugge dalam pertemuan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Madrid memaklumkan langkah itu berkaitan dengan masalah perutnya.

Kelab itu kemudian terpaksa menafikan bahawa Courtois ditimpa masalah kesihatan akibat dihantui kebimbangan setelah melepaskan dua gol kepada Brugge dalam babak pertama yang mempunyai kaitan dengan masalah prestasinya di peringkat kelab.

Martinez berkata Courtois masih dalam proses pemulihan sambil menegaskan anak buahnya itu merupakan yang terbaik di dunia untuk mengisi posisi berkenaan.

"Adalah tidak benar bahawa dia dihantui kebimbangan," kata Martinez.

"Dia masih berasakan kesan daripada masalah perut itu dan perlu menaikkan berat satu atau dua kilogram lagi. Itulah yang boleh terjadi jika anda diserang masalah perut.

"Dia sudah memasang impian untuk beraksi bersama Real Madrid sejak kecil lagi dan dia bersedia untuk menentukan eranya di sana. Saya yakin dia adalah penjaga gol terbaik di dunia."