BELGIUM 9 SAN MARINO 0

Roberto Martinez memuji disiplin dan hubungan dalam kalangan pasukannya ketika Belgium membelasah San Marino 9-0 untuk melayakkan diri ke Euro 2020.


Pasukan nombor satu dunia itu meraih kejayaan berkenaan di Brussels, awal pagi tadi, untuk mengekalkan rekod 100 peratus dalam kempen Kumpulan I.

Rentetan tujuh kemenangan bermakna Belgium muncul pasukan pertama yang menjamin tiket mereka dalam pusingan akhir tahun depan.

Romelu Lukaku menyumbat dua gol -- yang pertama adalah golnya yang ke-50 -- sementara pemain gantian, Christian Benteke dan Yari Verschaeren, turut mencetak jaringan.

Pemain tengah remaja, Verschaeren, diberi kesempatan untuk melakukan sepakan penalti pada lewat permainan untuk aksi sulungnya bersama skuad Die Roten Teufel itu sehingga menerbitkan kekaguman Martinez.

"Kami sudah menyatakan bahawa sikap merupakan tunjang dalam perlawanan ini," kata Martinez kepada wartawan.

"Kami kekal berdisiplin dan adalah penting juga bahawa kami secara beransur-ansur tidak lagi mementingkan diri sendiri.

"Saya sangat gembira dengan corak permainan yang dipamerkan, iaitu cara kami memanfaatkan peluang dan suasana dalam kalangan pemain ini.

"Jika anda melihat tindakan Yannick Carrasco yang memberikan bola kepada pemain berusia 18 tahun untuk menyempurnakan sepakan penalti, itu adalah kualiti kemanusiaan dalam kumpulan ini yang membuatkan saya berasa seronok."

Pengurus itu turut menjelaskan keputusan meletakkan Hans Vanaken dalam kesebelasan utama susulan prestasi memberangsangkannya bersama Club Brugge di samping pemain Anderlecht, Verschaeren, telah membuktikan bahawa mereka tidak perlu meninggalkan negara untuk berkembang.

"Mereka bukanlah terlalu muda untuk menyertai skuad kebangsaan ini dan mereka tidak perlu pergi ke luar negara untuk meneroka potensi penuh," tambahnya.

"Prestasi Vanaken masih lagi berkembang di Belgium, dengan pasukan yang bercita-cita tinggi dan berstruktur.

"Persembahannya hari ini penuh dengan pengetahuan, pemasaan dan kualiti. Ia seolah-olah mencerminkan Verschaeren sudah berada dalam skuad ini selama bertahun-tahun.

"Sukar dipercayai bahawa tiga bulan lalu, dia masih bersama skuad B-21 dan juga menganggotai skuad B-18, tahun lalu. Ini adalah contoh masa depan bola sepak Belgium."