Gareth Bale berkata dia akhirnya mendapat satu peluang untuk mengatasi Luka Modric apabila Croatia bertandang ke Wales bagi perlawanan kelayakan Euro 2020.

Rakan sepasukan Real Madrid itu akan menjadi dua bintang terbesar dalam pertemuan Kumpulan E itu di Cardiff, awal pagi esok.

Croatia mengetuai kumpulan dengan 13 mata sementara Wales di tempat keempat dengan enam mata, namun pasukan bimbingan Ryan Giggs itu mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Wales seri ketika bertandang ke Slovakia, kelmarin, dengan Bale diketepikan ekoran kecederaan lutut tetapi dia dijangka bersedia untuk menghadapi Croatia.

Penggempur berkenaan teruja untuk menguji dirinya berhadapan dengan pemenang Ballon d'Or itu tatkala Croatia mencatat kemenangan 2-1 dalam pertemuan Jun lalu.

"Setiap kali kami beraksi, kami selalu akan tewas dengan satu gol dan ia selalu menjadi perlawanan yang sengit," kata Bale kepada wartawan.

"Kami sedar betapa ampuhnya mereka. Mereka mengharungi kempen Piala Dunia yang hebat dan mereka telah membuktikannya tahun demi tahun betapa bagusnya mereka.

"Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar tetapi saya fikir bermain di laman sendiri memberikan kami sedikit kelebihan dan kami sedar penyokong di Wales akan berada di belakang kami.

"Kami telah bermain bersama-sama untuk jangka masa yang lama di Tottenham dan Real Madrid, jadi kami saling mengenali satu sama lain. Ia bagus untuk mendapatkan satu kemenangan ke atas mereka kerana mereka telah mengalahkan kami beberapa kali pada masa lalu."

Satu lagi kad kuning bakal mengundang penggantungan ke atas Bale dalam aksi kelayakan dan situasi itu diakui sedang bermain di dalam fikirannya.

"Saya tidak boleh membuat terlalu banyak terjahan yang tidak sepatutnya atau seumpamanya. Saya perlu berwaspada dalam hal itu," katanya lagi. "Saya tidak mahu terlepas sebarang perlawanan dengan Wales, terutama dalam tempoh penting ini.

"Saya fikir saya harus bijak dengan apa yang saya lakukan tetapi saya mungkin perlu menjangkakan bahawa seseorang akan membuat gangguan supaya saya digantung."