Kelayakan Euro 2020: Azzurri lengkapkan kempen dengan kejayaan besar

Oleh Penulis Jemputan 19 November 2019 217
Kelayakan Euro 2020: Azzurri lengkapkan kempen dengan kejayaan besar
ITALI 9 ARMENIA 1

Roberto Mancini memacu Itali memecahkan rekod baru apabila mengekalkan rekod 100 peratus dalam pusingan kelayakan Euro 2020 dengan membelasah Armenia 9-1 di Palermo awal pagi tadi.


Skuad Azzurri itu, yang mengesahkan kelayakan ke pusingan akhir tahun depan selepas menewaskan Bosnia-Herzegovina, Sabtu lalu, merekodkan kemenangan ke-10 berturut-turut buat kali pertama dalam sejarah.

Kejayaan itu, bagaimanapun, tidak memperlahankan rentak mereka dalam saingan Kumpulan J berkenaan apabila menamatkan kempen dengan rekod bersih 10 kemenangan daripada 10 perlawanan.

Dalam kemenangan ke-11 berturut-turut itu, Itali buat kali pertama memperoleh sembilan gol daripada tujuh pemain berbeza.

Ciro Immobile dan Nicolo Zaniolo menghasilkan gol berganda manakala Riccardo Orsolini dan Federico Chiesa, masing-masing menjaringkan gol pertama di peringkat antarabangsa.

Tiga lagi gol disumbangkan oleh Nicolo Barella, Alessio Romagnoli dan Jorginho.

Skuad kendalian Mancini itu membuka jaringan seawal minit kelapan apabila Immobile menyumbat masuk hantaran Chiesa.

Seminit kemudian, giliran penyerang Lazio itu membantu Zaniolo menewaskan penjaga gol Armenia, Aram Hayrapetyan.

Pelawat hampir mengejutkan pasukan tuan rumah berkenaan tidak lama selepas itu apabila Aleksandre Karapetian melambungkan bola yang hinggap di palang gawang Salvatore Sirigu, namun nasib malang Armenia berterusan pada minit ke-29.

Barella menewaskan Hayrapetyan untuk menyudahkan lorongan Leonardo Bonucci sebelum percubaan Chiesa terkena tiang.

Keraian Itali berterusan apabila Immobile sekali lagi menemui sasaran selepas menerima hantaran berbahaya Zaniolo.

Penyerang itu hampir menjaringkan hatrik dalam babak pertama tetapi percubaannya dari sebelah kiri kotak penalti sekadar menggegarkan tiang gol.

Tiada sebarang gol terhasil sehingga minit ke-64 dan Zaniolo menjadikan kedudukan 5-0 dengan merembat kencang bola ke arah tiang gol kanan.

Romagnoli meneruskan hari penuh malang buat Hayrapetyan apabila menyudahkan percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-72.

Kedudukan menjadi 7-0 pada minit ke-75 apabila Jorginho menyempurnakan sepakan penalti selepas Kamo Hovhannisyan mengasari Orsolini, yang kemudian turut menjaringkan gol dengan menyudahkan hantaran lintang Chiesa.

Edgar Babayan menjaringkan gol sagu hati buat Armenia sebelum giliran Orsolini membantu Chiesa menanduk masuk gol kesembilan Itali.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen