Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, menjelaskan bahawa faktor cuaca sejuk di Paju, Korea Selatan serta aspek teknikal saingan kelayakan adalah sebab mengapa beliau tidak menggunakan kesebelasan utama ketika berdepan Brunei dalam saingan kelayakan B-19 AFC, hari ini.

Menurut Hodak, sukar bagi pemain beraksi dalam dua perlawanan kompetitif dalam tempoh tiga hari dengan keadaan cuaca sejuk di Paju ketika ini.

Selain itu, laluan ke pusingan akhir akan hanya membabitkan kiraan mata tiga pasukan teratas Kumpulan F.

Tanpa tonggak utama dalam kesebelasan utama, skuad negara sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Zafuan Azeman pada minit ke-75.

"Hanya keputusan tiga pasukan teratas akan diambil kira dan kami kini berada dalam kedudukan itu, sebab itulah saya merehatkan ramai tonggak pada hari ini.

"Dalam cuaca sejuk sebegini, kami tidak mampu mempamerkan aksi berintensiti tinggi dalam tempoh singkat," katanya.

Bagaimanapun, Hodak mengakui tetap kecewa pasukannya gagal meraih kemenangan selesa berdepan Brunei, dengan kegagalan meraih jaringan awal menjadi punca pemain-pemain tertekan.

"Kami sudah menjangkakan pertemuan seperti ini, cuma digagalkan ketumpulan penyudah. Aspek ini perlu dipertingkatkan lagi.

"Apa yang saya kesal, Brunei memiliki dua peluang menerusi serangan balas dan ia tidak boleh berulang, terutama apabila kami berdepan Indonesia dan Korea Selatan nanti.

"Cuma, kami menjangkakan dapat menyumbat tiga atau empat gol dan kegagalan meledak sebarang jaringan pada babak pertama membuatkan pemain saya mula gugup, oleh itu mereka harus tenang untuk menyudahkan peluang yang terhidang," katanya lagi.

Kredit imej: FB FAM