Kelayakan AFC B-23: Safawi tumpu objektif pasukan

Oleh Penulis Jemputan 20 Mac 2019 1385
Kelayakan AFC B-23: Safawi tumpu objektif pasukan
Tonggak skuad B-22 negara, Safawi Rasid, tidak meletak sasaran peribadi dalam kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 2019, sebaliknya hanya mahu memastikan pasukannya mara ke pusingan akhir selaku juara kumpulan.

Safawi menjadi pemain tumpuan dalam kempen kelayakan kali ini selepas mencetus fenomena bersama skuad B-23 tahun negara dan skuad senior kebangsaan tahun lalu.

Ia membabitkan aksinya dalam Kejohanan AFC B-23 di China, Sukan Asia Jakarta-Palembang dan Piala AFF dengan membantu Malaysia meraih pencapaian membanggakan.

Hadir dengan prestasi konsisten di pentas antarabangsa, kelibat Safawi sememangnya ditagih selaku penggempur utama dalam mengharungi kempen kelayakan berkenaan.

"Saya mahu terus membantu pasukan mencari jaringan untuk memastikan kami mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC," katanya.

Safawi, yang direhatkan ketika aksi persahabatan antarabangsa menentang Australia, Ahad lalu, kini sudah bersedia untuk dipertaruhkan menentang Filipina, Jumaat ini.

Dia, bagaimanapun, tidak memandang mudah cabaran lawan walaupun sudah beraksi di pentas yang lebih besar, termasuk Liga Juara-Juara Asia bersama kelabnya, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Ini adalah pentas untuk mengasah lagi kualiti kami di pentas Asia. Kejohanan AFC ini penting buat kami dan memerlukan tumpuan sepenuhnya di atas padang," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen