Kelayakan AFC B-23: Peluang Malaysia lebih cerah -- Danial 

Oleh Penulis Jemputan 9 November 2018 4240
 Kelayakan AFC B-23: Peluang Malaysia lebih cerah -- Danial 
Pemain tengah skuad B-23 negara, Danial Amier Norhisham, mengakui pasukannya berpeluang cerah untuk mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di Thailand berdasarkan undian bagi kempen kelayakan kejohanan, semalam.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama-sama China, Laos dan Filipina.

Sememangnya, laluan kali ini kurang berliku berbanding apa yang dilalui ketika kempen kelayakan edisi lalu apabila terpaksa bersaing sengit dengan Thailand selaku tuan rumah dan Indonesia sebelum berjaya mengesahkan kemaraan.

Kali ini hanya China boleh dianggap menjadi penghalang buat anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk sekali lagi mara ke kejohanan terbesar Asia itu.

"Seperti yang kita tahu, Filipina mengetengahkan ramai pemain import tetapi untuk kejohanan di peringkat umur sebegini, tidak ramai pemain luar yang mereka tampilkan. 

"Pelapis mereka tidak bersama senior skuad, jadi ia satu kelebihan buat Malaysia ke atas Filipina. 

"Jadi, peluang untuk layak itu lebih cerah," katanya.

Kempen kelayakan AFC B-23 merupakan langkah pertama untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebanyak 11 juara dan empat naib juara terbaik setiap kumpulan akan mara ke pusingan akhir yang menawarkan tiga tiket ke Sukan Olimpik.

Dalam edisi 2018, Malaysia mencipta kejutan mara ke suku akhir, namun tunduk 1-2 kepada Korea Selatan.


 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen