Kelayakan AFC B-19: Umar Hakeem anggap kekecewaan terubat

Oleh Staff Writer 11 November 2019 4227
Kelayakan AFC B-19: Umar Hakeem anggap kekecewaan terubat
Penjaring gol skuad B-19 negara, Umar Hakeem Suhar Redzwan, menganggap kekecewaan tewas kepada Thailand yang menafikan kelibat Malaysia dalam Piala Dunia B-17 tahun lalu terbalas.

Kehampaan di laman sendiri di bawah kendalian Lim Teong Kim tahun lalu membawa kesan mendalam dalam landskap pembangunan akar umbi bola sepak negara.

Namun, pemain tengah negara itu tidak mudah tunduk dengan hanya satu pertaruhan, malah menganggap perhitungan dalam kelayakan Kejohanan AFC B-19 di di Stadium Olimpik Phnom Penh, Kemboja, petang semalam adalah misi membalas dendam.

"Thailand hanya mengharapkan seorang pemain sementara kami setiap pemain dalam pasukan ini, jadi ia satu kelebihan buat kami.

"Kalau mereka hanya mengharapkan Suphanat Mueanta, semua pemain Malaysia sebaliknya lebih baik daripadanya, semuanya ada kualiti, " katanya selepas perlawanan semalam. 

Kemanisan yang dilaluinya berganda apabila muncul satu-satunya penjaring yang mencetak jaringan buat negara pada minit ke-84 selepas menerima hantaran rakan sepasukan, Mohd Azam Azmi Murad.

Dalam masa sama, jurulatih negara, Brad Maloney, lega anak buahnya menepati corak permainan yang dihajatinya berdasarkan keperluan pasukan dan pihak lawan.

"Adakalanya pemain seperti Umar Hakeem jarang diberi pujian sedangkan dia bertungkus-lumus setiap kali beraksi.

"Jadi, mereka telah menuai hasilnya," katanya. 

Seri memadai buat barisan pemainnya untuk ke pusingan akhir Kejohanan AFC di Uzbekistan tahun depan, namun kemenangan ke atas Thailand umpama petanda bahawa mereka sedang mencorakkan masa depan bola sepak negara.

Jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, berpuas hati dengan kejayaan skuad B-19 negara itu.

Pengendali itu turut merujuk kelibat lima pemain yang menjadi orang penting dalam kesebelasan utama skuad Brad Maloney, iaitu Harith Haiqal Adam Afkar, Umar Hakeem Suhar Rezwan, Mukhairi Ajmal Mahadi, Azam Azmi Murad dan Luqman Hakim Shamsudin.

Kelima-lima pemain itu akan melaporkan diri untuk tugasan negara seterusnya, Sukan SEA Filipina hujung bulan ini sebaik sampai di tanah air hari ini. 

"Mereka telah layak secara berturut-turut, jadi selepas ini mereka harus bersiap sedia dengan lebih baik," kata jurulatih berusia 49 tahun itu di Kemboja petang semalam. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen