Pengendali skuad B-19 negara, Brad Maloney, bakal mempertaruhkan tujuh muka baru menjelang saingan Kumpulan G, Kelayakan AFC di Phnom Penh dari 2 hingga 10 November ini.

Berteraskan objektif utama layak ke pusingan akhir kejohanan, antara muka baru yang tersenerai ialah Alif Mutalib, Azrul Haikal Ramlee, Raimi Shamsul dan Hazim Abu Zaid sambil 16 pemain lain dikekalkan daripada barisan yang beraksi dalam Kejohanan AFF B-18, Ogos lalu.

Fokus utama Maloney kini terarah kepada aksi pertama skuad negara berdepan tuan rumah, Kemboja, dan pengendali yang pernah memperkuatkan pasukan Olimpik 1992 Australia itu tidak mahu pemainnya hilang tumpuan beraksi di laman lawan.

"Kami hanya melakukan persiapan dan apa yang saya pentingkan adalah pasukan harus terus mara ke depan. Kami akan mempersiapkan diri untuk berdepan tuan rumah Sabtu ini. Ia bakal menjadi ujian getir," katanya.

Dalam saingan persahabatan sebelum ini, barisan remaja negara menang mudah ke atas Sri Lanka 4-0 serta menewaskan Taiwan 3-0.

Namun, Maloney sedar dua aksi persahabatan itu tidak boleh dijadikan ukuran apabila beraksi dalam saingan kelayakan kejohanan AFC kali ini.

"Ia memang aksi persahabatan dan memiliki objektif berbeza. Saya tidak memikirkan keputusan asalkan pemain menerapkan prinsip yang diamalkan ketika latihan," tambahnya.