Jurulatih Brunei Darussalam, Mohd Ikhmarul Izzat Omar, melaungkan keazaman untuk tidak membenarkan sebarang jaringan besar dilakar Malaysia menjelang pertemuan kedua Kumpulan G, kelayakan Kejohanan AFC B-19 2020 di Stadium Olimpik Phnom Penh, Kemboja, malam esok.

Selepas dibelasah 8-0 oleh Thailand Selasa lalu, situasi itu tidak menghalang Ikhmarul untuk terus meletakkan harapan.

Sempena pertemuan dengan anak buah Brad Maloney itu, pengendali tersebut tidak rela situasi sama berulang sambil mengharapkan keberkesanan pasukannya yang lebih ampuh, terutama di bahagian pertahanan.

"Kami menyasarkan satu persatu perlawanan.

"Pungutan mata adalah wajib dan itu adalah sasaran kami," katanya hari ini.

Bagaimanapun, Maloney pula menegaskan tidak kira apapun keazaman pihak lawan, dia lebih percayakan kemampuan barisan pemainnya.

Apa yang pasti, skuad negara juga perlu mencari jaringan besar untuk berada di kedudukan lebih selesa selepas mengatasi Kemboja 5-4 dalam aksi pertama.

"Kami menghormati pihak lawan.

"Posisi pemain mereka amat teratur dan sukar ditembusi pada satu-satu masa.

"Kami perlu cari jalan penyelesaian demi meraih keputusan positif," kata Maloney dalam sesi latihan di Padang Turf AUPP, Phnom Penh, petang tadi.