Kelayakan AFC B-19: Shafi harap pengganti Mukhairi cetus impak

Oleh Staff Writer 6 November 2019 739
Kelayakan AFC B-19: Shafi harap pengganti Mukhairi cetus impak
Pemain tengah skuad B-19 negara, Shafi Aszwad Sapari, yakin pengganti Mukhairi Ajmal Mahadi yang tidak diturunkan ekoran penggantungan mampu membantu peranannya dalam usaha memastikan jaringan besar berdepan Brunei dalam saingan Kelayakan Kejohanan AFC B-19 Tahun 2020 di Stadium Nasional Olimpik Phnom Penh, malam ini.

Shafi antara penggerak utama skuad negara ketika aksi pertama bertemu Kemboja selain turut mencetak jaringan pembukaan Sabtu lalu.

Mengakui banyak mendapat bantuan rakan-rakan, terutama kelibat Mukhairi di jentera tengah skuad kendalian Brad Maloney itu, Shafi mengharapkan pengganti pemain PKNP itu mampu mencetus keserasian dalam misi penting bertemu Brunei.

"Mukhairi seorang pemain yang penting dan saya memerlukan khidmat rakan sepasukan yang mampu mengawal bahagian tengah," kata Shafi.

Tegas pemain kelahiran Melaka itu, dia bertekad untuk terus mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan kedudukannya bersama skuad negara tidak tergugat.

Ini merupakan aksi pertama Shafi bersama skuad B-19 negara selepas tidak terpilih ke senarai akhir ketika kem latihan ke Piala Sanix awal tahun lalu dan kecewa kali kedua apabila tiada dalam senarai akhir ketika Piala AFF B-19 tahun lalu di Bandaraya Ho Chi Minh, Ogos lalu.

"Jika ada rezeki, saya akan menjaringkan gol atau melakukan bantuan jaringan untuk pasukan. Ini merupakan kali pertama bermain bersama skuad kebangsaan dan saya berjaya mencapai keserasian dengan pasukan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen