Kelayakan AFC B-19: Mukhairi yakin skuad negara tampil cemerlang di Kemboja

Oleh Staff Writer 30 Oktober 2019 513
Kelayakan AFC B-19: Mukhairi yakin skuad negara tampil cemerlang di Kemboja
Kapten skuad remaja negara, Mukhairi Ajmal Mahadi, melaungkan keyakinan terhadap kemampuan skuad negara mempamerkan aksi memberangsangkan dalam saingan Kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Kemboja selepas melihat peningkatan bersama rakan sepasukan.  

Ajmal pernah disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukannya, PKNP, bagi saingan Piala Malaysia, malah mendapat perhatian selepas mempamer aksi menarik selaku pemain tengah dalam Kejohanan AFF B-18, Ogos lalu. 

Meskipun sebelum ini dia mengakui bergelut dengan kehadiran beberapa muka baru yang dipanggil pengendali, Brad Maloney, pemain berasal Pahang itu optimis kehadirannya bersama pasukan Malaysia di Kemboja nanti akan membuahkan hasil positif. 

Ajmal, bagaimanapun, yakin hasil latihan dan perlawanan persahabatan sebelum kelayakan Kejohanan AFC B-19 tahun membuka tirai mampu meletakkan Malaysia di kedudukan dua terbaik Kumpulan G.

"Saya berharap rakan sepasukan memberikan komitmen terbaik dalam sesi latihan. Saya mula berasa kami beraksi dengan lebih cemerlang serta teknikal dan taktikal," katanya.

Sementara itu, penjaga gol negara, Firdaus Irman Mohd Fadhil, melihat persefahaman dengan rakan sepasukan sebagai kunci kejayaan di Kemboja sambil menjanjikan penambahbaikan persembahan olehnya daripada kejohanan lepas. 

"Persefahaman di antara pemain-pemain semakin baik dan persiapan yang telah dilakukan ketika di Dubai mula menampakkan hasil," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen