Ketua jurulatih skuad B-19 tahun negara, Brad Maloney, akan memanggil sembilan muka baru menjelang pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 2020 di Kemboja, November depan biarpun skuad sedia ada telah membuktikan kemampuan mereka dengan muncul naib juara Kejohanan AFF di Bandaraya Ho Chi Minh bulan lalu.

Skuad negara melakar kejutan dalam kejohanan di Vietnam itu apabila mara ke final sebelum tewas 0-1 kepada juara lima kali, Australia.

Maloney kini sedang dalam perangkaan untuk membentuk pasukan lebih ampuh menjelang kem latihan pusat bermula Sabtu ini hingga 30 Oktober depan dengan sembilan muka baru akan dipanggil bagi merealisasikan hasrat itu.

Antara yang mendapat perhatian pengendali berusia 47 tahun itu ialah Arif Aiman Hanapi, Diniz Irwan dan Aikmal Roslan.

"Sembilan pemain baru akan menyertai panggilan kali ini, jadi kami mahu memberikan peluang untuk mereka merebut tempat dalam skuad akhir.

"Tiada jaminan buat mana-mana pemain untuk tersenarai dalam skuad akhir.

"Setiap pemain mempunyai peluang sama rata.

"20 pemain lain dalam senarai terdahulu juga akan bersama kami.

"Ia tentang melihat siapa yang boleh menyesuaikan diri dengan corak permainan dan falsafah pasukan.

"Kami akan melakukan pemilihan akhir apabila tiba masanya," katanya.

Dalam pada itu, Maloney turut menzahirkan perasaan bangga terhadap Luqman Hakim Shamsudin yang menandatangani kontrak lima tahun dengan kelab liga utama Belgium, K.V. Kortrijk.

"Saya amat gembira untuknya.

"Ia peluang yang hebat buat pemain muda sepertinya untuk melebarkan kariernya.

"Suasana di sana amat profesional dengan budaya, pengalaman dan cuaca berbeza.

"Bagi saya, ia peluang yang amat bagus buatnya," tambahnya.