Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, menuntut tiga mata pertama untuk Malaysia melangkah jauh dalam kelayakan Kejohanan AFC, seterusnya mengisi 16 slot terbaik Asia.

Aksi pembukaan memainkan peranan penting untuk setiap pasukan dan itulah yang diharapkan Maloney agar Malaysia mampu membuka tirai saingan dengan bergaya.

Biarpun lawan Malaysia adalah pasukan tuan rumah, Kemboja, namun itu bukan halangan untuk mereka melakar kejutan di Stadium Olimpik, malam ini.

"Kami mahu meraih permulaan yang baik dan akan berpegang kepada prinsip yang diusahakan sejak beberapa minggu lalu," katanya.

Namun, pendapat berbeza diluahkan pengendali Kemboja, Koji Gyotoku, yang mendakwa tekanan lebih terarah kepada anak buahnya apabila beraksi di laman sendiri.

Tidak menganggap kecemerlangan anak buahnya melakar kejutan dalam Piala AFF di Bandaraya Ho Chi Minh sebelum ini sebagai gambaran sebenar skuadnya, Gyotoku kekal menganggap Malaysia sebagai duri dalam daging.

"Pemain kami berdepan tekanan tinggi. Saya rasa ia satu situasi sama. Ramai yang bersorak untuk kami dan ramai juga harapkan aksi terbaik," katanya.

Sementara itu, pemain tengah kebangsaan, Zikri Khalili, sudah tidak sabar mahu membuktikan kemampuan bersama rakan sepasukan.

Menerusi pendedahan yang ditempuhi ketika di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa aksi persahabatan di Malaysia, dia tidak teragak-agak untuk melabelkan Malaysia sebagai ancaman terbesar buat semua pancabar, khususnya pasukan gergasi, Thailand.

Namun, dia sedar kemampuan dia dan rakan sepasukan akan diuji dengan halangan pertama terlebih dahulu berdepan Kemboja yang dianggap sebagai pasukan yang sukar diramal.

"Kami bersemangat kerana sudah mempersiapkan diri selama lebih sebulan. Kami mahu ke pusingan akhir di Uzbekistan tetapi tidak boleh pandang rendah kemampuan lawan. Saya rasa prestasi mereka dalam Kejohanan AFF sebelum ini bukan ukuran sebenar," katanya.