Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, mengakui pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 yang bermula bulan depan akan menjadi pentas terbaik bagi menguji kepakarannya dalam menyediakan pasukan mantap untuk menempatkan diri ke pusingan akhir tahun depan.

Baginya, tempoh tiga bulan sejak mengambil alih pasukan itu tidak mencukupi untuk dia mengenali kesemua pemainnya.

Namun, dengan masa yang ada, dia kini sudah lebih mengenali setiap pemain berbanding ketika muncul naib juara Kejohanan AFF B-19 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, Ogos lalu.

"Buat masa ini, kami di landasan tepat dan kami perlu meneruskannya.

"Apabila kami tiba di Kemboja (untuk kempen kelayakan) kami akan melakukan persiapan terakhir bagi menghadapi perlawanan pembukaan pada 2 November," katanya.

Menjelang aksi pembukaan menentang pasukan tuan rumah, Kemboja, bulan depan, Maloney tidak mahu mensia-siakan peluang untuk mencetak nama selaku pengendali pertama membawa skuad negara ke kejohanan utama itu.

"Semuanya kelihatan baik setakat ini, kami menjalani kem latihan selama 12 hari di UAE (Emiriah Arab Bersatu) di mana kami turut mengadakan beberapa perlawanan persahabatan yang amat bagus.

"Ia amat kompetitif dan kuat secara fizikal dan amat bagus untuk pemain kami meraih pengalaman itu.

"Selepas pulang ke Kuala Lumpur, kami meneruskan persediaan dan ia kelihatan baik," tambahnya.