Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, mengekalkan khidmat barisan pemain utama Kejohanan AFF B-18 di Vietnam, Ogos lalu untuk dibawa ke saingan kelayakan AFC di Phnom Penh, Kemboja bulan depan.

Bagaimanapun, dia tetap akan menambah beberapa muka baru yang akan membantu memperkuatkan pasukannya.

Pengendali kelahiran Australia itu belum bersedia untuk memberi kata putus terhadap senarai 23 pemain yang akan dibawa selain masih memberi masa kepada 32 pemain dalam kem latihan pusat untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

Maloney bakal mengumumkan senarai penuh skuad utamanya selepas menghadapi perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka esok, diikuti aksi menentang Taiwan, Sabtu ini.

"Saya rasa kekuatan pasukan akan berteraskan pemain sama yang memperkuatkan skuad ketika Kejohanan AFF. Saya menjangkakan kehadiran beberapa pemain baru tetapi skuad terakhir masih belum dikenal pasti," katanya.

Apabila ditanya tentang status dua pemain muda yang sedang meningkat naik ketika ini, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Luqman Hakim Shamsudin, dia menegaskan tonggak utama itu perlu membuktikan tahap kecergasan dan prestasi di tahap terbaik sebelum mengisi senarai 23 pemain terakhir.

"Ketika ini, semua pemain memiliki peluang seimbang untuk berada dalam pasukan. Jadi, kami akan memberi ruang untuk mereka membuktikan kemampuan dalam aksi persahabatan nanti," tambahnya.