Kelayakan AFC B-19: Malaysia perlu lebih berdaya saing -- Maloney

Oleh Bernama 31 Oktober 2019 371
Kelayakan AFC B-19: Malaysia perlu lebih berdaya saing -- Maloney
Ketua jurulatih skuad B-18 negara, Brad Maloney, menuntut anak buahnya supaya berdaya saing dan memiliki kesungguhan tinggi dalam pusingan kelayakan Kejohanan AFC 2020 di Phnom Penh bermula Sabtu ini.

Dia juga mahu pemain negara tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan dalam saingan Kumpulan G itu.

Malaysia diundi bersama-sama dengan Thailand, Brunei, Kepulauan Mariana Utara dan pasukan tuan rumah, Kemboja, dalam usaha memburu slot automatik ke Kejohanan AFC tahun depan dengan menjuarai saingan kumpulan itu.

“Saya menjangka mereka akan lebih berdaya saing. Kami bekerja keras dengan cara kami mahu bermain. Pastinya sekian lama kami melaksanakan prinsip permainan yang dihasratkan. Harap kami akan terus melakukannya.

“Terdapat satu atau dua pasukan pilihan, jadi pastinya laluan kami tidak akan mudah tetapi jika dapat memperagakan aksi yang terbaik dan mengikut rentak permainan yang ingin ditonjolkan, maka saya pasti Malaysia boleh berjaya,” ​​​​​​​ katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke ibu negara Kemboja itu, hari ini.

Malaysia akan membuka kempen dengan menentang Kemboja di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh,  jam 6.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia), Sabtu ini.

Maloney mengakui pasukan tuan rumah adalah sebuah pasukan yang kuat serta memiliki kelebihan bermain di gelanggang sendiri dengan sokongan padu penonton.

Justeru, Maloney melihat mereka perlu bermain dengan baik sekali untuk melakar keputusan positif dalam perlawanan pembukaan itu.

Sementara itu, kapten pasukan, Firdaus Irman Mohd Fadhil, menegaskan barisan pemain telah menunjukkan perkembangan dan peningkatan persefahaman yang positif menjelang pusingan kelayakan itu.

“Persefahaman dan keakraban pemain di luar dan dalam padang bertambah baik daripada sebelum ini. Kami tidak boleh takut terhadap lawan dan tidak boleh juga memandang rendah, kami hanya perlu bermain cara kami,” katanya.

Skuad negara sebelum ini melakar dua kemenangan besar menewaskan Sri Lanka 4-0, diikuti kejayaan menundukkan Taiwan 5-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa minggu lalu.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen