Jurulatih skuad B-18 negara, Brad Maloney, tidak berasa selesa dengan kelebihan skuadnya ketika ini, malah keringat anak buah ditagih sepenuhnya menjelang pertemuan dengan Thailand dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 2020 esok.

Satu lagi keputusan cemerlang dilakar barisan negara menerusi kemenangan besar 10-0 ke atas Kepulauan Mariana Utara semalam, namun ia belum menjamin apa-apa.

Kelegaan di wajah Maloney hanya akan terserlah sebaik tamat 90 minit penting dengan Thailand menerusi keputusan yang memihak kepada negara.

Maloney menjangkakan kebangkitan semula skuad Thailand esok selepas kekalahan 2-1 kepada Kemboja dianggap mencalar maruah skuad Negara Gajah Putih itu yang dianggap sebagai raja bola sepak Asia Tenggara.

"Sememangnya Thailand akan berusaha mendapatkan kemenangan. Kami menjangkakan corak permainan serangan daripada mereka dan pasukan saya sudah bersedia menghadapi apa sahaja tekanan pasukan lawan," kata Maloney.

Sementara itu, jurulatih Kepulauan Mariana Utara, Mita Machiteru, akur dengan jarak prestasi skuadnya jika dibandingkan dengan Malaysia.

Corak bermain secara bertahan yang diterap Mita sekurang-kurangnya mampu mengurangkan jumlah bolos pasukannya yang sebelum ini dibelasah 21-0 oleh Thailand.

"Kami telah berusaha mengelak daripada dibolosi kerana jentera serangan Malaysia amat berkualiti," kata Mita.