Skuad B-19 negara mahu melupakan episod hitam dilayangkan dua kad merah dalam perlawanan pembukaan pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 menentang tuan rumah, Kemboja, kelmarin dan menganggapnya sebagai pengajaran sebelum berdepan Brunei di Stadium Olimpik Phnom Penh, Rabu ini.

Dalam sesi latihan penuh hari ini, skuad negara kelihatan berada dalam kondisi terbaik.

Pemain negara memiliki waktu rehat tiga hari sebelum menghadapi Brunei dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan persiapan.

Mukhairi Ajmal Mahadi dan Zikri Khalili tidak dapat diturunkan dalam perlawanan itu kerana dilayangkan kad merah ketika menentang Kemboja, namun ketua jurulatih, Brad Maloney, berasakan pasukannya sudah bersedia untuk menentang Brunei.

"Kami menghormati Brunei, mereka menewaskan Kepulauan Mariana Utara dalam perlawanan pembukaan.

"Kami perlu menghormati mereka sebagai satu pasukan bola sepak dan akan menyaksikan perlawanan mereka dengan Thailand hari ini.

"Kami hanya perlu mempersiapkan diri seperti perlawanan biasa dan harap-harap kami akan berada di tahap terbaik pada hari perlawanan," katanya.