KEMBOJA 4 MALAYSIA 5

Skuad B-19 negara dipaksa bekerja keras dan bermain dengan sembilan orang sebelum mencatat kemenangan 5-4 ke atas Kemboja dalam aksi pembukaan saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Phnom Penh, sebentar tadi.


Meskipun kekurangan dua pemain, tiga mata dilakar anak buah Brad Maloney itu selepas Syafi Aszwad Sapari menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-30 sebelum Fakhrul Iman menambah jaringan, 10 minit kemudian.

Dua minit berselang, tuan rumah terus dihukum, kali ini giliran Azrin Afiq Rusmini meletakkan nama dalam senarai penjaring selepas menyambut hantaran Azam Azmi tetapi dua kad merah yang dilayangkan kepada Mukhairi Ajmal Mahadi dan Zikri Khalili jelas mengubah kedudukan.

Lawan berjaya menyumbat dua gol dalam tempoh tiga minit tetapi jaringan dari tengah padang oleh Luqman Hakim Shamsuddin pada minit ke-57 jelas mengembalikan semangat skuad negara, menyaksikan Muslihudin Atiq Zahid menjadikan kedudukan 5-2.

Kemboja berupaya menambah dua lagi gol tetapi wisel penamat ditiupkan sebelum tuan rumah mengikat kedudukan, sekali gus membolehkan Malaysia meraih kemenangan 5-4.