Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, memberi gambaran skuad kebangsaan bebas daripada kecederaan yang memungkinkan khidmat pemain tengah, Firdaus Khaironnisam, dapat diturunkan menjelang aksi kedua kelayakan Kejohanan AFC berdepan Brunei malam ini.

Firdaus atau lebih mudah dipanggil Mario merupakan antara nama penting yang sering membarisi kesebelasan utama sejak Kejohanan AFF B-19 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, Ogos lalu.

Pemain itu terpaksa diketepikan ketika aksi menentang Kemboja kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Bagaimanapun, Maloney kali ini memiliki alasan untuk kembali mengetengahkan kelibat Mario, terutama selepas ketiadaan Mukhairi Ajmal Mahadi yang terlepas perlawanan esok ekoran penggantungan.

"Setakat ini semuanya bagus. Kami meraih hari tambahan untuk proses pemulihan dan ia baik untuk pasukan. Sudah tentu kami terlepas dua pemain dalam aksi pertama tetapi kami harus hadapinya," katanya.

"Mengenai Firdaus, apabila ada yang digantung, setiap pemain memiliki peluang untuk bermain."

Sementara itu, beraksi di atas padang tiruan di Stadium Olimpik Phnom Penh dilihat mengganggu prestasi sebenar skuad negara.

Namun, Maloney tidak mahu dianggap cuba memberi alasan tetapi dalam masa sama enggan pemainnya terkesan dengan kesukaran yang dialami kerana semua pasukan melewati kesukaran yang sama.

"Itu di luar kawalan kami. Apa yang perlu dilakukan adalah mencuba yang terbaik. Sudah tentu kami lebih cenderung beraksi di atas permukaan padang sebenar tetapi inilah cara kejohanan ini. Kami perlu menyesuaikan diri."