MALAYSIA 10 KEPULAUAN MARIANA UTARA 0

Empat jaringan Aiman Afif Md Afizul memastikan Malaysia terus merekodkan kemenangan dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 2020 apabila membenam Kepulauan Mariana 10-0 di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh, Kemboja, sebentar tadi.


Selepas meraih kemenangan 11-0 ke atas Brunei dalam aksi kedua Kumpulan G kelmarin, pengendali, Brad Maloney, mengambil pendekatan merombak pasukan -- Azrul Haikal Ramlee dan Aiman Afif merupakan pemain kekal dalam kesebelasan utama daripada aksi terdahulu.

Kepulauan Mariana Utara -- sebelum ini tewas 21-0 kepada pendahulu kumpulan, Thailand -- dijangka menghadapi darjah kesukaran yang hampir sama berdepan Malaysia.

Namun "skuad kedua" Malaysia tidak menampilkan bisa yang sama dalam ketiadaan tonggak utama, Luqman Hakim Shamsudin, yang meledak hatrik dalam perlawanan sebelum ini.

Malaysia sekadar mendahului 4-0 dalam separuh masa pertama, dengan Aiman membuka jaringan pada minit ketujuh sebelum Hazim Abu Zaid menggandakan jaringan dua minit kemudian.

Serangan demi serangan dilancarkan ke arah kubu pertahanan skuad Blue Ayuyu itu, namun Malaysia kerap kali membazirkan peluang di depan gol sebelum Aidil Azuan muncul sebagai penjaring gol ketiga pasukan, disusuli giliran Fahmi Daniel meledak jaringan dalam masa kecederaan separuh masa pertama.

Sejurus perlawanan bersambung, Malaysia terus memburu jaringan. Aiman meledak gol kelima pasukan pada minit ke-46 sebelum Fahmi menjadikan kedudukan 6-0 sebelum perlawanan melewati 60 minit.

Malaysia dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-64 yang disempurnakan oleh Firdaus Ramli dan dua minit kemudian, Azrul memahat nama selaku penjaring.

Aiman, yang juga merupakan penyerang muda skuad Kedah, melengkapkan hatrik kedua sepanjang kejohanan dengan jaringan pada minit ke-74 sebelum menyempurnakan kemenangan 10-0 Malaysia dengan gol keempatnya dalam perlawanan itu.

"Saya sangat bersyukur dan gembira kerana berjaya meledak empat gol dalam perlawanan hari ini. Ia amat penting bagi saya dan membantu pasukan untuk meraih kemenangan," kata Aiman.

"Kami menyedari Thailand adalah lawan yang sukar dan tidak boleh diambil mudah. Kami berharap untuk meraih kemenangan ketika berdepan Thailand."

Malaysia akan meneruskan saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 2020 Ahad ini bertemu Thailand dalam misi perebutan tangga teratas Kumpulan G.