Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, memburu jaringan besar menjelang perlawanan menentang Brunei dalam pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Stadium Olimpik Phnom Penh esok walaupun akan turun tanpa dua pemain utama, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Zikri Khalili.

Walaupun tanpa kedua-dua pemain itu, skuad negara akan kembali diperkuatkan dengan kehadiran bintang tengah, Firdaus Kaironissam, yang baru cergas daripada kecederaan.

Skuad negara memerlukan kemenangan besar ke atas Brunei bagi mencerahkan peluang ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan.

Setakat ini, Thailand mengetuai saingan Kumpulan G selepas membelasah Brunei 9-0 semalam.

Ikuti perkembangan terperinci dalam Nadi Arena jam 7.30 dan 11 malam ini.