Pemain tengah skuad B-19 negara, Fakrul Iman Naszari, yakin gandingan tiga serangkai melibatkan dirinya, Alif Mutalib dan Luqman Hakim Shamsudin mampu mencetak jaringan besar menjelang aksi kedua Kumpulan G, kelayakan Kejohanan AFC B-19 2020 dengan Brunei esok.

Kecil-kecil cili api, itu kenyataan sesuai untuk menggambarkan gandingan tiga serangkai jentera serangan negara yang melibatkan Alif, Fakrul Iman dan Luqman Hakim menjelang pertembungan di Stadium Olimpik Phnom Penh, Kemboja itu.

Membawa watak penting di jentera serangan negara, Fakrul Iman mengakui gandingan kali ini tampak selesa jika dibandingkan dengan aksi Piala AFF di Bandaraya Ho Chi Minh, Ogos lalu.

"Persembahan kami dalam kelayakan Piala AFC semakin meningkat berbanding Piala AFF yang lalu.

"Kami ada melancarkan gerakan (ke pintu gol lawan) tetapi mungkin insiden kad merah (bertemu Kemboja, permainan kami) nampak sedikit (pincang).

"Tetapi Insya-Allah kami dah semakin tingkatkan prestasi hasil (kesempatan) daripada latihan bersama-sama," katanya dalam sesi latihan hari ini.

Fakrul Iman merujuk kepada aksi pertama bertemu Kemboja Sabtu lalu apabila beberapa percubaan berbahaya daripadanya berjaya menggugat barisan pertahanan Kemboja.

Pemain kelahiran Selangor itu juga antara penyumbang kepada jaringan negara selain dia sendiri secara peribadi turut mencetak jaringan pada minit ke-10 yang juga merupakan jaringan kedua Malaysia ketika bertemu Kemboja.

"Kalau boleh, kami mahu (mencetak) lebih jaringan berbanding pihak lawan kerana faktor itu akan diambil kira di peringkat ini.

"Kami tidak mahu cari jalan susah."